Khamis, 8 Januari 2009

Hari Asyura- suatu kajian



Oleh Ustaz Ahmad Faizal Bin Ramly
Dirasat Ulya, Usuluddin dan Dakwah
Universiti Islam Madinah



Saya masih ingat dengan jelas, waktu itu saya masih di peringkat menengah rendah di SMA(A)SZA. Badan Agama Islam (BADAI), Persatuan Puteri Islam, GPMS dan pentadbiran sekolah bersama-sama berpakat untuk melaksanakan satu acara tahunan sekolah yang diadakan setiap kali tibanya bulan Muharam. Bukan berarak sempena Maal Hijrah, bukan juga bacaan doa tahun baru yang biasanya dibuat di musolla sebelum menjelang maghrib sebaliknya bergotong royong menyediakan bubur untuk meraikan hari asyura.

Hari sepuluh Muharam tahun itu tidak bermula dengan sibuk, ramai kawan-kawan saya pergi keluar ke bandar (outing) kerana hari itu hari Sabtu. Di bawah khemah yang dipasang untuk mengacau bubur tersedia lapan pangku untuk kawah-kawah bubur yang akan dimasak selama lapan jam hingga sempurna. Yang agak sibuk adalah ajk dan beberapa ahli persatuan, guru penasihat dan senior daripada tingkatan lima dan enam. Guru kelas saya, Datin Sakinah ada di situ. Ustaz-ustazah, cikgu –cikgu pun datang. Ada pakar bubur (tukang masak) yang dibawa dari kampung entah mana yang akan menentukan sukatan bahan-bahan dan ramuan bubur. Saya seronok sebab sekolah yang selalunya bersuasana formal menjadi ceria dengan celoteh cikgu dan ragam pelajar mengacau bubur.

Hari Asyura.
Waktu itu saya dengar dari senior thanawi, hari ini sunat puasa, hari ini hari bahtera nabi Nuh berlabuh, makanan sangat tidak mencukupi, lalu nabi Nuh mengumpul mana-mana makanan yang ada pada pengikut-pengikutny a, kemudiannya dimasak sekaligus di dalam satu kawah, segala bijirin dan sayuran, segala rempah dan daging, ditaruh sekali, dimasak hingga hilang segala sifat maka terciptalah buat kesekiannya resepi bubur asyura. Tak sangka resepi tersebut menjadi sedap. Kita memasak bubur asyura untuk memperingati kepayahan umat Nuh dan hari bersejarah tersebut. Hari ini saya memikirkan, betulkah itu sebabnya kita disyariatkan makan bubur ini pada hari ini?

Saya berpuasa hari itu. Tapi saya tak tahu siapa yang turut berpuasa. Semua nampaknya meneguk air sirap tersedia, dek kehausan mengacau bubur, peluh pula tersejat dek bahang api dari bawah kawah. Pagi membawa ke petang, saya kepenatan, air sirap tampak sedapnya lain macam, air yang terkondensasi di luar baldi sirap yang sejuk mencabar kesabaran saya. Akhirnya saya bermonolog, puasa hari ni sunat sahaja….

Itulah penghayatan saya dan komuniti saya suatu ketika dulu terhadap asyura. Menikmati bubur peringatan.

Di akhir pengajian di peringkat Thanawi, saya belajar pasal sejarah Islam. Saya berkenalan dengan kumpulan Syiah. Rupa-rupanya Syiah menyambut hari asyura dengan sambutan berbeza..Hari ini adalah hari yang celaka. Hari ini hari cucu baginda Nabi, Saidina Hussain anaknya Fatimah azZahra dan Saidina Ali dibunuh dengan kejam di Karbala`. Hari ini kehormatan ahli keluarga dicalar dan diabai. Syiah meratapi hari ini di Najaf (dulunya dikenali sebagai Kufah). Perempuan syiah meraung-raung, memukul-mukul dada, menghantuk dahi dan kepala. Lelaki syiah pula mencederakan badan dengan benda tajam dan rantai besi, parang dan pisau, badik dan beliung, darah bersimbah membasahi pakaian, lolongan dan ratapan adalah penghayatan peristiwa asyura. Celaan, laknat, dan nista dilemparkan semahunya kepada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Kekadang membawa kepada keturunan dan nenek moyang mereka yang tidak terlibat lansung dengan peristiwa sadis ini.

Ini adalah penghayatan Syiah terhadap asyura. Sedih dan pilu membuak di hati apabila mengenangkan keluarga termulia diperlakukan sehinanya oleh orang Islam sendiri. Tapi, inikah yang disyariatkan oleh Junjungan Mulia SAW? Sekonyong-konyong hadith laranganan keras serta gertakan Baginda SAW daripada meniru kelakuan orang jahiliyah sewaktu meghadapi pemergian saudara mereka-menerjah ke benak saya. Orang musyrik tidak redha dengan taqdir, orang musyrik tak menyebut : Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun, la haula wala quwwata illa billah.[1]
Di university saya membaca buku hadith dan sejarah. Sebenarnya hari Asyura yang merupakan hari kesepuluh Muharam merupakan hari kesyukuran sejak zaman para nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Sewaktu nabi Muhammad belum lagi diangkat menjadi utusan dan pembawa berita, orang Arab jahiliyah sangat memuliakan hari Asyura. Menurut Ibh Hajar al`Asqalany, mereka berpuasa pada hari asyura dan mereka menukar kelambu Ka`bah pada hari asyura sebagai menghayati keagungan hari ini. Puasa hari Asyura merupakan syiar agama nabi Ibrahim yang masih berbaki di dalam masyarakat jahiliah sama seperti syiar Haji. Jesteru itu, Nabi Muhammad juga berpuasa asyura sebelum diangkat menjadi Nabi dan selepas diangkat sehinggalah baginda berhijrah ke Madinah. Puasa hari asyura adalah bagi menyatakan kesyukuran di atas kejayaan umat yang bertauhid daripada kejahatan umat musyrikin. Di dalam satu riwayat di dalam Musnad Imam Ahmad, hari asyura adalah hari nabi Musa dan hari bahtera nabi Nuh berlabuh.[2]
Rupanya itulah sebab penghayatan asyura. Tapi bagaimanakah hendak menghayatinya?

Pada tahun nabi Muhammad tiba di Madinah, kaum Yahudi yang berada di Madinah merayakan hari asyura dengan berpuasa dan seterusnya keluar bergembira. Nabi Muhammad lantas bertanyakan Yahudi memandangkan syiar berpuasa yang serupa. Lalu yahudi menjawab : Hari ini hari Musa diselamatkan daripada kezaliman firaun, lalu Musa berpuasa bagi menyatakan syukur, kerana itu mereka berpuasa dan bergembira. Lantas Nabi Muhammad menggesa : Kita adalah lebih layak mengingati Musa daripada mereka, [3]baginda kemudiannya menyuruh semua berpuasa. Sabda baginda : barangsiapa yang belum makan hendaklah berpuasa, barangsiapa yang telah makan maka hentikanlah (tahan dari makan). [4]

Yahudi masih lagi merayakan hari ini, bahkan ia merupakan perayaan yang sangat besar di sisi mereka. Cuma sedikit kekeliruan mungkin berlaku kerana sebahgian kaum yahudi yang bertempiaran (diaspora) telah mengubah perkiraan kalendarnya mengikut sistem lunasolar sewaktu cengkaman Rom,[5] mereka juga telah banyak meminda ajaran taurat.
Oleh sebab itu, bacaan kalender mereka hanya boleh dibuat oleh kohen dan rabbi. Perayaan sepuluh haribulan (asyura) dikenali Pesakh (the atonement day) dirayakan di Jerusalem pada bulan Teshrei (bulan pertama sumeria) didahului dengan puasa bermula dari sebelum terbenam matahari hinggalah terbenam matahari esoknya (lebih dua puluh empat jam). Diniharinya pula diisi dengan sembahyang, doa, dan upacara ritual. Yang menjadi keseraman, apabila mereka menyediakan dua ekor kambing, satu untuk Lord dan satu lagi untuk Azazil (iblis). Setelah mengakui segala dosa dan kesilapan, Rabbi akan menyembelih kambing untuk Lord, setelah mengakui dosa dan kesilapan, kambing untuk Azazil pula dihambat ke hutan dan di harap tidak pulang. Untuk memastikan ia tidak pulang, biasanya ia ditolak ke bawah gaung sebagai simbolik kejahatan yang tidak kembali. Pesakh dirayakan bagi mengingati hari Musa diberikan Taurat gantian bagi menggantikan naskhah yang telah dipecahkannya.

Tetapi hari kejayaan Musa dari firaun (Passover) dirayakan pada hari kelima belas hingga kedua puluh satu haribulan Nisan (bulan ketujuh sumeria lebih kurang bulan April kalendar solar) pada hari ini darah dilumurkan di anjung rumah, mereka tak dibenarkan memakan maupun menyimpan bahan daripada bijirin yang telah diperap atau diperam. Semua bahan seperti roti, biskut, pasta, arak, mesti dimakan sebelum hari perayaan, atau dimusnahkan atau dijual. Upacara pembersihan rumah daripada sebarang cebisan bahan ini pula, wajib dilaksanakan. Biasanya mereka akan menyediakan cebisan roti dan diletakkan dicelah-celah perabot yang akan dikutip pada hari pembersihan. Kalau seseorang merupakan penjual roti, arak, atau peruncit, dia mestilah menjual (secara olok-olok atau kontrak) kedainya kepada bukan Yahudi melalui perantaraan Rabbi dan dibeli semula selepas perayaan. Semua ini dilakukan bagi menghayati kekalutan yang dihadapi oleh Yahudi sewaktu melarikan diri dari Mesir sehinggakan mereka tiada masa memasak roti. Mereka akan memakan Motza (doh yang dimasak segera, leper dan padat) dan Morur (sayuran pahit) bagi menghayati kepayahan kaum Yahudi zaman Musa.[6]

Peliknya penghayatan Asyura disisi Yahudi : kalau Pesakh di cemari syirik terhadap Allah dengan menunaikan korban untuk Azazil, dicemari dengan pembaziran apabila kambing tersebut tidak dapat dimakan dagingnya, ditambah pula kezaliman dengan mencampaknya ke bawah gaung. Manakala, Passover pula dicemari dengan tipu helah syariat, bagi meloloskan diri daripada syariat yang menekan, yang tak mampu dilaksanakan dengan ikhlas.

Terlintas dibenak saya, semacam ada kesamaan apabila menghayati hari kebesaran dengan memakan makanan nenek moyang yang berada dalam keadaan genting dan gawat. Yahudi memakan motza dan morur, muslim memakan bubur.

Ini hanyalah lintasan dalam benak saya, belum pernah lagi saya mendengar mana-mana ilmuwan yang menyebut persamaan ini. Selagi ia halal dimakan, kenapakah nak dihalang, tetapi mestikah ia disandarkan pada agama dan disyariatkan? Maksud saya, dengan mengatakan sunnat dimakan pada hari ini, kerana ia makanan seorang nabi dan pengikutnya! Bukankah asas syariat kita Quran dan Sunnah, bukan berasaskan rekaan penglipulara dan pemutar sejarah.

Bercakap tentang asyura lagi, ada beberapa hadith yang dilaporkan berkaitan tentang kelebihan asyura. Seperti hadith bersedekah hari asyura, bercelak dan bercantik-cantikan pada hari ini, ganjarannya besar sekali. Malangnya kesemua hadith-hadith ini adalah rekaan semata-mata, ianya dicipta oleh kelompok ahli ibadat dengan tujuan menggalakan manusia bergembira sebagai melawan syariat rekaan Syiah yang bernestapa pada hari ini. Ibn Taimiyah mengulas tentang isu ini dengan berkata: Aku tak tahu samada yang memulakan rekaan ini bertujuan menyatakan kebencian terhadap ahli bait (nawasib) ataupun sebaliknya, namun melakukan ibadat dengan panduan selain daripada Allah dan rasulNya adalah suatu kesesatan.[7]

Rekaan dalam agama dengan mencipta hadith palsu, hanya akan membuahkan kepelbagaian yang tidak mungkin diserasikan, ia menggalakan ketaasuban terhadap pendapat, dan yang paling besar- melupakan kita sunnah sebenar yang disyariatkan Junjungan Mulia. Syiah tentunya tak berpuasa pada hari asyura. Kepenatan menyediakan bubur, serta cerita-cerita rekaan pula, mungkin melupakan kita untuk berpuasa dan menghayati kelebihan puasa, kesyukuran asyura dan merebut fadhilatnya seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadith sahih- puasa asyura diharapkan menebus kesilapan yang dilakukan pada tahun lalu.

Saya berharap ada di kalangan penatap coretan saya yang dapat menulis secara terperinci tentang asyura dari perspektif yang pelbagai, contohnya perbandingan mazhab, agama, perincian sejarah, sosiologi selain isu feqh dan sebagainya dengan kajian yang teliti dan ilmiah.
Saya cuma nak turut memeriahkan group kita, sekali lagi, terima kasih Abdul Hayyi.
[1] Lihat sahih Muslim hadith 2203 bab tegahan keras daripada meratap dll kitab hadith
[2]Lihat Musnad Ahmad 2/539-Muassah Cordova-Kaherah. Ulasan Arnaout mengatakan sanadnya sebagai dhaif. Lihat juga fathul bari 4/247 –dar Makrifah -Beirut
[3]Lihat sahih Bukhary hadith 2004 bab puasa hari Asyura
[4] Ibid hadith 2007 bab puasa hari Asyura
[5]Untuk mengetahui tentang kalendar lunasolar, kalender Yahudi, perkiraan tahun dan tarikh, mungkin dengan melawati Wikipedia boleh memberikan anda maklumat am.
[6] Untuk mengetahui perayaan Yahudi secara amnya, boleh lihat di Wikipedia. Maklumat yang diberikan di sana lebih banyak dan terperinci.
[7]Lihat Majmu` fatawa 4/513-

0 ulasan:

Template by:
Free Blog Templates