Isnin, 5 Januari 2009

SEMANGAT KHAIBAR

Assalamualaikum.



Ketika artikel ini ditulis, saudara kita di Palestin sedang rancak dilanyak oleh tentera Yahudi Israel.Pada ketika ini lebih dari 400 orang awam telah syahid dibunuh.




Mungkin ada diantara kita mula berasa gerun terhadap Yahudi Israel.Ada yang berkata inilah akibatnya jika kita melawan kuasa besar (Amerika dan sekutunya Israel), melawan puak yang memegang kuasa ekonomi dunia...Inilah akibatnya...



TIDAK wahai sahabat-sahabat sekalian.Kita lihat pada sejarah.Bagaimana Yahudi pada suatu ketika dahulu pernah juga menjadi kuasa besar, memegang kuasa ekonomi, Jumlah yang ramai, akan tetapi berjaya dikalahkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dan para sahabatnya di dalam peperangan Khaibar.



Jadi, marilah kita bersama mengambil "SEMANGAT KHAIBAR" ini untuk terus bersama perjuangan sahabat-sahabat kita di Palestin semampu yang mungkin dalam mempertahankan bumi yang diberkati sekitarnya, bumi umat Islam, bumi kiblat pertama kita, bumi Baitul Maqdis.Apa jua jenis bantuan boleh kita hulurkan..bantuan kewangan, senjata, makanan, penulisan, doa, dsb.



KHAIBAR

Tamhid

Kita sering mendengar saudara-saudara kita di Palestin atau sesiapa sahaja ketika berdemonstrasi terhadap kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh Puak Yahudi-yang dilaknat Allah- melaungkan slogan "Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaisya Muhammad saufa ya'ud".
Ini sebenarnya memberi gambaran kepada kita bahawa peperangan diantara Rasulullah bersama Para Sahabat di Khaibar mengalahkan tentera Yahudi merupakan satu kemenangan dan kebanggaan yang amat besar kepada umat Islam sehingga kini.
Selain kemenangan besar di dalam peperangan tersebut, terdapat banyak hukum hakam Feqah yang dapat diambil sepanjang tempoh peperangan juga contoh keberanian para sahabat dan kebijaksanaan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam mengatur strategi peperangan.
Semoga penulisan santai ini dapat memberi maklumat dan faedah kepada penulis dan pembaca di dalam lebih mengenali dan mencintai Rasulullah dan Para Sahabat dengan lebih dekat lagi InsyaAllah.

Sebab berlaku peperangan

Firman Allah Taala:

"وعدكم الله مغانم كثيرة تأخذونها فعجل لكم هذه وكف أيدى الناس عنكم ولتكون ءاية للمؤمنين ويهديكم صراطا مستقيما"
Yang bermaksud: " Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang dapat kamu ambil, maka disegerakan-Nya harta rampasan ini untukmu dan dia menahan tangan manusia dari (membinasakan) mu dan agar hal itu menjadi bukti bagi orang-orang Mukmin dan agar dia menunjuki kamu kepada jalan yang lurus."(Al-Fath:20)

Di dalam Tafsir Ibnu Kathir ketika membincangkan ayat ini menyatakan bahawa menurut pendapat Ibnu Abbas r.a ayat ini menerangkan mengenai janji Allah Taala kepada orang yang beriman akan harta ghanimah (rampasan perang) yang banyak daripada kemenangan Umat Islam di dalam peperangan (Khaibar).

Sebab berlakunya peperangan adalah disebabkan Khaibar merupakan pusat yang besar bagi orang Yahudi merancang segala kejahatannya kepada umat Islam pada ketika itu. Diantara kejahatan yang mereka lakukan ialah memberi bantuan ketika berlakunya peperangan Al-Ahzab, menghasut Yahudi Ghatafan melanggar perjanjian mereka dengan Rasulullah dan pelbagai lagi tipu daya dan rancangan jahat bagi menghalang dakwah Rasulullah dan menghancurkan umat Islam.Khaibar juga mempunyai kubu-kubu dan ladang-ladang yang banyak.

Peperangan ini merupakan satu peperangan yang unik dimana buat pertama kalinya umat Islam yang menyerang dan menawan musuh terlebih dahulu kerana peperangan-peperangan yang berlaku sebelum ini kalau kita perhatikan hanya umat Islam yang diserang dan bertahan.

Di antara sebab lain berlakunya peperangan adalah bagi membenarkan Firman Allah di dalam surah Al-Fath seperti yang tertera di atas.

Bertolak dari Madinah

Rasulullah dan Para Sahabat bertolak dari Madinah ke Khaibar pada tahun ketujuh hijrah di mana sebelum bertolak Rasulullah meminta hanya yang benar-benar ingin berjihad sahaja mengikuti Baginda lalu yang keluar bersama Rasulullah hanya berjumlah 1400 sahaja.

Pada ketika ini puak munafik di Madinah tidak berdiam diri.Ketua mereka Abdullah bin Ubai telah menyampaikan berita ini kepada Orang-orang Yahudi di Khaibar agar bersedia dengan kemaraan tentera Islam ke sana.Lalu Puak Yahudi Khaibar meminta bantuan dari Puak Yahudi Ghatafan agar memberi bantuan kepada mereka dan menjanjikan separuh dari hasil buah-buahan mereka sebagai balasannya.

Akan tetapi Rasulullah dan Para Sahabat telah sampai terlebih dahulu ke Khaibar kerana ketika Yahudi Ghatafan bertolak ke Khaibar untuk memberi bantuan, di pertengahan jalan mereka telah mendengar suara riuh rendah di belakang mereka lalu menyangka bahwa tentera Rasulullah telah menyerang kampung mereka dan menawan isteri-isteri dan harta mereka, lalu mereka pulang semula untuk memberi bantuan.Akan tetapi ianya hanyalah perasaan mereka sahaja.


Bertolak dari Madinah ke Khaibar...Konvoi tujuh buah kereta


Rasulullah telah sampai di Khaibar pada waktu malam dan tidak terus menyerang kerana merupakan prinsip Rasulullah tidak akan menyerang sesuatu kaum itu sehinggalah waktu pagi tiba (tidak menyerang dalam keadaan musuh sedang tidur.Selepas menunaikan solat Subuh Rasulullah dan tenteranya pun memulakan serangan.

Berperang

Khaibar terbahagi kepada dua kawasan yang terdiri dari kubu-kubu yang banyak dan lapan¹ daripadanya merupakan kubu yang besar dan kuat untuk mereka bertahan dari serangan musuh.

Ketika orang-orang Yahudi sedang baru hendak keluar menuju ke ladang mereka, Rasulullah dan tentera Islam pun memulakan serangan.Peperangan pun bermula.Satu demi satu kubu-kubu di Khaibar dapat di tawan dengan agak mudah kecuali dua kubu yang terakhir iaitu kubu Al-watih dan As-Sulalim yang mengambil masa lebih dari sepuluh hari.


Kubu Sulalim...betapa besar dan gahnya...akhirnya kecundang.


Peperangan ini merupakan satu kemenangan besar bagi umat Islam.Di samping Tentera Islam dikurniakan harta rampasan perang yang begitu banyak, Tentera Islam juga telah dapat menewaskan musuh utama mereka yang sering mengganggu dan menyakiti umat Islam selain musyrikin Quraisy.


Kemenangan Pelajar Madinah sampai ke Khaibar...gembira meraikan kemenangan Khaibar


Kemenangan ini juga merupakan satu penghinaan yang besar terhadap Yahudi dimana mereka diusir keluar dari kampung halaman mereka sendiri akibat dari kejahatan yang telah mereka lakukan.

Jumlah tentera Islam yang syahid adalah seramai enam belas orang.Manakala jumlah Yahudi yang mati seramai sembilan puluh tiga orang.

Faedah yang boleh diambil

1) Boleh menerima harta rampasan perang (Ghanimah) bagi yang tidak mengikuti peperangan setelah mendapat keizinan dari yang ikut berperang – Kisah kedatangan Jaafar bin Abi Talib dan yang bersamanya seramai lebih kurang 16 orang yang telah berhijrah ke Habsyah pada awal dakwah Islam.Mereka telah datang ke Khaibar dan turut menerima ghanimah walaupun tidak turut berperang.


Menyelusuri kota Khaibar


2) Menyambut tetamu atau kawan dengan mencium diantara kedua matanya. – Ketika tibanya Jaafar bin Abi Talib, Rasulullah mencium diantara kedua matanya seraya bersabda : ”Aku tidak tahu yang mana satu lebih aku gembirakan, pembukaan kota Khaibar atau kedatangan Jaafar".²

3) Sesiapa yang membunuh orang Islam ketika belum menganut Islam, kemudian masuk Islam, tidak akan dikenakan kepadanya hukum qisas (bunuh balas). – Kisah wanita Yahudi yang menjamu Rasulullah dan para sahabat, kambing yang telah diracun dengan tujuan untuk mengetahui akan kebenaran bukti bahawa nabi Muhammad adalah seorang Rasul yang diutus Allah.Seorang sahabat (Bishr bin Barra') telah menelan secubit daging sebelum sempat Rasulullah memberitahu bahawa daging tersebut telah diracun.Sahabat tersebut telah mati disebabkan racun tersebut, akan tetapi wanita yahudi tersebut tidak dihukum qisas kerana telah masuk Islam dan perbuatannya itu sebelum masuk Islam.


Penempatan awal tahun 1300 masihi di Khaibar.


4) Larangan memakan keldai belaan (Himar ahliyyah).

5) Boleh menjadikan mahar kahwin dengan gantian nilai merdeka bagi seorang hamba. – Rasulullah mengahwini Sufiah binti Huyay dengan memerdekakannya sebagai mahar perkahwinan.

6) Bukti kepada kita bahawa Kaum Yahudi boleh dikalahkan.Sebagaimana ramai yang melihat dan berpandangan pada masa kini bahawa nasib umat Islam di Palestin susah untuk dibela kerana hebatnya orang yahudi-mereka menguasai ekonomi dunia dan mempunyai persenjataan yang kuat.Akan tetapi hakikatnya mereka boleh dikalahkan kerana sejarah telah membuktikan.Bukan kerana mereka (yahudi) itu kuat, tetapi kerana Umat Islam yang telah lemah.

Kita memohon kepada Allah Taala semoga saudara kita di Palestin diselamatkan dan diberi kemenangan dan Yahudi akan dikalahkan sebagaimana kalahnya mereka didalam peperangan Khaibar.Bersama kita doakan kesejahteraan saudara kita di Palestin dan di mana-mana.


¹ Lapan Kubu yang kuat: Kubu Naim, Kubu As-So'ab bin Muaz, Kubu Az-Zubair, Kubu Ubai, Kubu An-Nazzar, Kubu Al-Qamus, Kubu Al-Watih, dan Kubu As-Sulalim.

² Kebiasaannya kita di malaysia mencium tangan sebagai tanda penghormatan dan sayang, akan tetapi sebenarnya mencium diantara kedua matanya adalah lebih akrab dan tanda kasih yang lebih seperti yang dibuat oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

0 ulasan:

Template by:
Free Blog Templates